Blog merupakan salah satu daripada media baru yang menjadi tumpuan masyarakat untuk berkomunikasi dan menyatakan pendapat mereka terhadap sesuatu perkara. Pelbagai jenis blog telah dicipta antaranya ialah blog politik, blog hiburan, blog peribadi dan sebagainya. Kadar penggunaan blog dalam masyarakat hari ini agak tinggi iaitu terdapat 112 juta blog atau kira-kira 175 000 blog dicipta setiap hari (Ani Nadila Yusuf, 2008: 3). Nama asal blog adalah diambil daripada perkataan Web Log yang diperkenalkan oleh John Warger pada Disember 1997 manakala singkatan bagi Blog pula diperkenalkan oleh Peter Merholz yang menggunakan ayat ‘we blog’ pada laman web peribadinya(ibid)
Menurut Jurnal Pengajian Media Malaysia yang ditulis oleh Jamilah Hj Ahmad, blog boleh didefinisikan sebagai laman web yang terdapat catatan-catatan dibuat dalam bentuk jurnal dan dipaparkan dalam satu susunan kronologi terbalik. Pengaruh blog terhadap sistem komunikasi dan informasi telah mencetuskan fenomena baru apabila blog-blog telah menjadi sumber maklumat paling dominan bagi melakukan sesuatu perkara atau menganalisis sesuatu perkara.
Oleh kerana Malaysia telah mencapai tahap negara membangun maka perkembangan terhadap blog tidak dapat dihalang lagi selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin melihat rakyat Malaysia mahir menggunakan Internet bagi tujuan memacu pembangunan negara. Saya akan membincangkan mengenai hasil kajian yang dilakukan oleh Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli daripada Universiti Teknologi Mara. Tajuk kajiannya ialah Ironi Komitmen Terhadap ICT: Ancaman Blog di Malaysia. Ancaman blog yang utama adalah blog politik.
Di Malaysia terdapat pelbagai jenis blog politik telah diwujudkan oleh pelbagai pihak atau individu bagi menyampaikan ideologi politik mereka dan juga bagi menghentam pihak lawan mereka sama ada di barisan kerajaan atau pun di pihak pembangkang.
Perkembangan kewujudan blog politik dilihat seperti mencabar kedudukan media arus perdana, seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian yang selama ini dimonopoli dan digunakan oleh kerajaan bagi menyampaikan segala maklumat atau dasar mereka kepada rakyat. Hal ini adalah kerana melalui blog, pelbagai perkara dapat diperbincangkan dengan lebih meluas tanpa perlu memohon kebenaran atau permit daripada pihak yang berwajib. Blog juga membenarkan penggunanya untuk memberikan komen ataupun pendapat mereka terhadap setiap perkara yang dinyatakan di dalam blog tersebut yang tidak dapat dilakukan di media arus perdana.
Selain itu, blog juga turut menjadi pilihan penggunanya adalah kerana perkara yang diterbitkan di dalam blog tersebut bebas daripada kawalan dan suntingan daripada mana-mana pihak seperti media yang lain. Perkembangan blog politik ini akan menjadi lebih dominan apabila sesebuah negara tidak mengamalkan kebebasan media dan dikawal ketat oleh kerajaan. Jadi rakyat akan mengambil anisiatif untuk menggunakan blog bagi mendapatkan sebarang maklumat yang tidak dipaparkan di media arus perdana.
Di Malaysia perkembangan penggunaan blog politik ini telah meningkat dengan mendadak selepas berlakunya pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 yang dikaitkan dengan isu liwat dan penyalahgunaan kuasa. Pengguna memilih internet bagi mendapatkan kebenaran mengenai isu ini yang tidak dipamerkan di media arus perdana.
Semasa pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, beliau dilihat lebih terbuka berbanding pemimpin sebelumnya. Perkara ini memberi ruang kepada semua pihak untuk mengkritik kerajaan dan pentadbiran beliau secara terang-terangan terutamanya di alam siber seperti blog. Perkara ini seterusnya menyebabkan landskap politik di negara ini telah berubah pada pilihanraya ke-12 pada 8 MAC 2008 yang mempamerkan Barisan Nasional telah hilang kuasa majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat dan telah hilang kuasa pemerintahan di lima buah negeri iaitu, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Mengikut kajian yang telah dilakukan terhadap 193 blog politik yang dijalankan oleh Mohamad Amirul Akhbar Mod Zulkifli dilihat 59.1 peratus blog yang diwujudkan adalah tidak menyokong pemerintah. Manakala bagi blog yang bersifat bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak pula adalah terdiri daripada 26.4 peratus. Terdapat hanya 14.5 peratus sahaja yang berpihak kepada pemerintah. Jadi wajarlah jika dikatakan bahawa blog merupakan salah satu ancaman dan penyebab utama yang membawa kepada kekalahan teruk Barisan Nasional pada pilihanraya ke-12.
Manakala bagi isu yang diperbincangkan pula kajian mendapati bahawa terdapat 33.1 peratus blog daripada keseluruhan kajian telah membincangkan mengenai isu ketelusan di dalam pilihanraya. Isu kedua tertinggi yang diperbincangkan ialah isu hak asasi, keadilan dan ekonomi di Malaysia yang berjumlah 32.5 peratus daripada keseluruhan kajian. Seterusnya isu yang diperbincangkan di dalam blog yang dikaji ialah isu rasuah dan kronisme yang membawa kepada 11. 3 peratus daripada jumlah keseluruhan blog yang dikaji. Selain itu, isu mengenai Abdullah Ahmad Badawi juga menjadi antara isu yang diperbincangkan di dalam blog yang dikaji dan membawa kepada keputusan 8.6 peratus daripada keseluruhan kajian. Jumlah peratusan blog yang membincangkan lain-lain isu adalah sebanyak 14.5 peratus.
Rujukan
Buku
Ani Nadila Yusuf .(2008). A-Z blog!: Tip Untuk Blogger Wanita. Shah Alam: Buku Prima.
Jurnal
Hj Ahmad.( 2009). Perhubungan Awam dan Teknologi Baru, Vol. 11, no 11, pp. 1-12